Thursday, September 12, 2013

Panduan solat semasa bermusafir (secara ringkas):

Islam itu mudah. Tiada alasan untuk tidak mengerjakan solat semasa mengembara walaupun ketika berada di dalam kenderaan atau pun di puncak gunung. Bagi muslimat, semasa mengembara digalakkan memakai pakaian yang menutup aurat sepenuhnya (ie pakaian yang boleh digunakan untuk solat tanpa memerlukan telekung). Islam memberi kelonggaran dan kemudahan bagi beberapa keadaan tertentu ternasuklah ketika bermusafir (dengan tujuan yang baik). Kelonggaran ini dikenali sebagai rukshah solat.
Sabda Rasullullah :
~ Sesungguhnya Allah suka rukshah (keringanan) yang diberikan oleh-Nya dilaksanakan seperti Allah membenci maksiat yang dilakukan kepadaNya~ (direkodkan oleh Ahmad)
Syarat-syarat perjalanan yang dibenarkan untuk solat jamak dan qasar:
1)      Perjalanan mestilah dengan tujuan dan niat yang baik, bukan bagi tujuan maksiat dan perkara haram.
2)      Destinasi yang dituju mestilah melebihi dua marhalah (lebih kurang 91 km).
3)      Tahu destinasi yang dituju (bukan jalan-jalan tanpa tujuan).

Solat Qasar:

Pengambilan hukum berdasarkan kepada ayat al-quran yang bermaksud:
“Apabila saudara merantau di muka bumi, tidak menjadi kesalahan sekiranya saudara memendekkan solat….” (Surah An-Nisa’:101).
Syarat-syarat yang membolehkan solat qadar:
1)      Solat fardhu yang mempunyai empat rakaat (Zuhur, Asar, Isya’).
2)      Perjalanan tidak kurang dua marhalah (lebih kurang 91 km).
3)      Perlu berniat qasar dalam takbiratul ihram.
4)      Tidak berimamkan dengan orang yang bersolat sempurna.
5)      Kekal dalam perjalanan sehingga selesai solat.
6)      Perjalanan dengan niat yang baik.
·         Solat qasar boleh dilakukan secara berjemaah sekiranya imam juga bersolat qasar.
Lafaz niat solat Qasar:
1)      Lafaz niat solat zuhur yang diqasarkan:
“Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat qasar kerana Allah”
2)      Lafaz niat solat asar yang diqasarkan:
“Sahaja aku solat fardhu asar dua rakaat qasar kerana Allah”
3)      Lafaz solat isya’ yang di qasarkan:
“Sahaja aku solat fardhu isya’ dua rakaat qasar kerana Allah”

Solat Jamak

Anas bin Malik meriwayatkan: “Apabila Nabi Muhammad SAW keluar bermusafir sebelum matahari tergelincir, baginda menangguhkan solat zuhur sehingga waktu asar. Kemudian baginda berhenti lalu menghimpunkan antara dua rakaat antara dua solat itu (zuhur dan asar). Sekiranya baginda berangkat selepas matahari tergelincir, baginda solat zuhur terlebih dahulu dan kemudian barulah baginda bertolak”.

Kaedah solat jamak:

Solat jamak boleh dilakukan dengan dua cara iaitu jamak taqdim dan jamak takhir.
1)      Jamak taqdim ialah menghimpunkan dua solat seperti zuhur dengan asar dan dikerjakan dalam waktu pertama iaitu dalam waktu zuhur.
2)      Jamak takhir ialah menghimpunkan dua solat seperti zuhur dengan asar dan dikerjakan dalam waktu kedua iaitu dalam waktu asar. Aturan yang sama juga bagi solat jamak magrib dan isya’.
Syarat yang membolehkan solat secara jamak taqdim:
1)      Perlu dikerjakan solat pertama dahulu iaitu zuhur kemudian diikuti dengan solat asar, begitu juga solat magrib dan isya’.
2)      Perlu niat jamak dalam solat pertama.
3)      Perlu dikerjakan berturut-turut antara kedua-dua solat itu.
4)      Perlu berkekalan dalam perjalanan sehingga selesai takbiratul ihram solat yang kedua.

Syarat yang membolehkan solat jamak takhir:

1)      Perlu berniat jamak pada/dalam waktu pertama.
2)      Berkekalan dalam perjalanan sehingga selesai solat yang kedua.
·         Solat jamak takhir boleh dikerjakan sama ada zuhur dahulu ataupun asar dahulu dan tidak disyaratkan berturut-turut antara kedua-dua solat itu.

Contoh lafaz niat solat jamak:

“ Sahaja aku solat fardhu zuhur empat rakaat dihimpunkan asar ke dalamnya kerana Allah”
 “Sahaja aku solat fardhu asar empat rakaat dihimpunkan ke dalam waktu zuhur kerana Allah”
Lafaz niat solat jamak dan qasar:
“ Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat qasar dihimpunkan asar ke dalamnya kerana Allah”
“Sahaja aku solat fardhu asar dua rakaat qasar dihimpunkan ke dalam waktu zuhur kerana Allah”.
“ Sahaja aku solat fardhu maghrib tiga rakaat  dihimpunkan isya’ ke dalamnya kerana Allah”
“Sahaja aku solat fardhu isya dua rakaat qasar dihimpunkan ke dalam waktu maghrib kerana Allah”.

Solat dalam kenderaan

Kewajipan menunaikan solat adalah kewajipan secara mutlak walaupun ketika dalam kenderaan sewaktu bermusafir. Ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah. Ibnu Umar berkata “Rasulullah solat di atas kenderaan baginda dan mengadap ke mana sahaja arah kenderaannya bergerak”- Hadith Riwayat Muslim.
Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian sebelum mendirikan solat dalam kenderaan:
1)      Berusaha mencari tempat solat yang sempurna.
2)      Berusaha mengadap kiblat

Solat hormat waktu
Solat ini dilaksanakan apabila seseorang menghadapi masalah seperti tiada kain yang mencukupi bagi menutup aurat, tiada wuduk, solat dalam kenderaan dan lain-lain kesukaran. Solat ini perlu dilaksanakan seperti biasa. Disebabkan oleh kesukaran memenuhi syarat sah solat, syarak member kelonggaran mengerjakan solat tanpa wuduk ataupun tayammun atau pun bersolat dalam kenderaan dan bersolat dengan pakaian yang bernajis. Perlu diingatkan selepas kita berupaya melakukan solat dengan sempurna mengikut syarat-syaratnya, kita wajib mengulangi solat.

Panduan solat di atas adalah secara ringkas sahaja, adalah dinasihatkan mendalami kaedah solat dengan merujuk kepada individu yang bertauliah (saya bukanlah orangnya). Perlu diingatkan juga, mungkin terdapat percanggahan maklumat tentang kaedah solat semasa bermusafir. Kita perlu berpegang kepada satu kaedah yang kita yakini setelah menuntut ilmu….waAllahua’lam. 

Tiada alasan untuk tidak solat, dalam gua pun bole...

No comments:

Post a Comment